KALAU sudah jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti boleh berlaku. Begitu juga dengan soal perkahwinan. Pasti agak ‘pelik’ di zaman moden ini bila menyaksikan pasangan yang berhasrat mendirikan rumah tangga pada usia yang masih muda remaja.
Jika zaman dulu-dulu, pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga dianggap sebagai perkara biasa, namun tidak pula di zaman siber ini. Jika si jejaka berusia 30 tahun dan yang gadis pula berusia 25 tahun – dan masih belum berumahtangga – ia masih lagi dianggap perkara biasa bagi sesetengah masyarakat.
ZAMAN dulu, sekitar 50-an dan 60-an, berkahwin pada usia muda bukan satu keganjilan. Ramai berkahwin muda, malah ada sesetengahnya, terutama anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia masih terlalu mentah…15, 16 tahun?
Banyak alasannya mengapa mereka berkahwin muda. Kebanyakannya mungkin kerana desakan ibu bapa. Lambat kahwin, takut anak gadis dikatakan tidak laku. Bimbang juga anak gadis terlalu bebas sehingga melakukan perbuatan yang tidak wajar.
Mungkin juga kerana peluang pelajaran tidak seluas mana bagi anak gadis di zaman dulu. Buat apa belajar tinggi-tinggi, itu pendapat orang tua dulu-dulu..ke ceruk dapur juga akhirnya dan ada juga yang mengatakan kerana `orang dulu’ cepat matang. Pendek kata, kalau anak gadis tu, sudah pandai masak, pandai jaga adik-adik – senang cerita, pandai menguruskan rumah tangga, ah..dah sampailah masanya.
Itu dulu. Kalau hari ini, anak gadis mahupun teruna berkahwin cepat, apa sebabnya? Rasanya ramai bersetuju, senario berkahwin muda bukan lagi pemandangan biasa. Peluang pendidikan yang lebih meluas, bagi lelaki dan wanita, keinginan mengecapi kejayaan dalam kerjaya mengatasi kehidupan berumahtangga, mungkin antara sebab ramai generasi hari ini `kurang berminat’ berkahwin pada usia muda.
Dilihat pada perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000, pada 1981 sehingga 1990, 43.2 peratus golongan muda berusia 20 hingga 34 tahun belum berkahwin.
Pada 1991 sehingga 2000 pula, 48.1 peratus golongan muda belum berkahwin, dengan 68.5 peratus daripadanya wanita.
Perangkaan itu turut menunjukkan umur minimum perkahwinan pada 1980 ialah 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita, tetapi meningkat kepada lelaki (28.2 tahun) dan wanita (24.7 tahun) pada 1991.
Perangkaan pada 2000 lebih membimbangkan apabila umur minimum berkahwin bagi lelaki meningkat kepada 28.6 tahun dan wanita 25 tahun dan begitulah keadaannya, dari tahun ke tahun, umur minimum berkahwin bagi lelaki dan wanita di negara ini semakin meningkat.
Namun, masih ada segelintir remaja hari ini `berani’ meninggalkan keseronokan hidup sendiri, berkahwin muda malah menimang cahaya mata ketika rakan seusia sedang sibuk menjalani `kebebasan’ sebagai remaja.
Semestinya, ramai yang beranggapan remaja yang berusia kurang daripada 20 tahun sebagai ‘mentah’ dan ‘hijau’ untuk mengharungi kehidupan berumahtangga serta menempuh pelbagai asam garam sebagai suami isteri.
Tetapi, sudah tentu lain perasaannya bila masing-masing sudah sah memikul tanggungjawab sebagai suami isteri. Memang bukan mudah menempuh cabaran alam rumah tangga, namun yang penting ialah tanggungjawab dan peranan suami isteri untuk menjamin keharmonian institusi perkahwinan yang dibina.
Menurut beberapa pasangan muda yg ditemubual, mereka tidak menyesal berkahwin muda, malah beranggapan status baru sebagai suami dan isteri itu lebih mematangkan mereka, lebih-lebih lagi apabila bergelar ayah dan ibu.
Mungkin benar, kata sesetengah pihak, usia bukanlah formula utama dalam perkahwinan yang berjaya tetapi keinginan dan keupayaan melayari mahligai dan kehidupan yang dibina dengan matang dan penuh tanggungjawab. Yang penting, jangan berkahwin hanya kerana nafsu dan desakan cinta tetapi kerana sudah bersedia – mental, fizikal dan kewangan. Apa yang pasti, masing-masing baik lelaki mahupun perempuan perlu ada nilai dan peranan untuk menjamin kebahagiaan berumahtangga.
~Insya-Allah~
No comments:
Post a Comment